Isnin, 9 Ogos 2010

Definisi dan asal-usul bahasa rojak

Bahasa rojak merupakan suatu percakapan yang menakrifkan campuran pelbagai bahasa dalam satu pertuturan. Misalnya Manglish, iaitu seketika menggunakan kata-kata dalam bahasa Melayu dan seketika lagi menggunakan kata-kata dalam bahasa Inggeris.

Seawal zaman Kesultanan Melayu Melaka, bahasa rojak dapat dikesan apabila sebuah entrepot antarabangsa didirikan oleh Parameswara pada tahun 1402 di Melaka. Pelabuhan ini telah menarik ramai pedagang dari pelbagai bangsa dan budaya yang secara keseluruhannya bertutur lebih daripada 80 bahasa. Oleh itu, pedagang dunia dan penduduk tempatan sudah biasa menggunapakai pelbagai bahasa dalam satu pertuturan . Mengikut ensiklopedia Malaysia (vol. bahasa dan budaya), bahasa rojak merupakan sebahagian daripada pijin bahasa penghubung di Malaysia. Keunikan bahasa ini terdapat dalam gaya alihannya.


Isu-isu bahasa rojak


Bahasa rojak digunakan secara meluas terutamanya dalam kalangan remaja bandar di Malaysia,sekaligus membimbangkan orang dewasa tentang penggunaan bahasa Melayu yang betul. Kerajaan memutuskan bagi melaksanakan penggunaan bahasa Melayu yang betul terutamanya dalam sektor swasta dengan tidak menggalakkan penggunaan bahasa rojak. Antara isu-isu penggunaan bahasa rojak :

  • TV3 telah menukar nama Karnival Sure Heboh menjadi Karnival Jom Heboh disebabkan oleh kebimbangan orang ramai.
  • Menurut Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, nama-nama jalan di Putrajaya seharusnya berpandukan kepada istilah-istilah warisan negara dan bukan menggunakan nama-nama barat seperti Precinct,Boulevard dan Parcel.
  • Majalah komik seperti majalah Ujang dan Apo menggunakan perkataan atau frasa yang ditulis dalam bahasa rojak.
  • Trend penggunaan bahasa rojak sebagai sebahagian kata-kata seharian kita. Contohnya ialah “dorang”, "kitorang", “glamour”, “line-up”, perkataan Melayu yang direka-reka, dipendekkan ataupun kata-kata yang diambil daripada bahasa asing.

    Punca bahasa rojak

    • Punca utama penggunaan bahasa rojak ialah sikap penutur sendiri.Hal ini kerana sikap penutur yang ingin menonjolkan kehebatannya dengan menguasai satu bahasa lagi.Kebanyakan penutur bahasa rojak biasanya mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dalam persekitaran terutamanya dalam bahasa Inggeris yang sebenar.Oleh sebab itu, mereka akan cuba melatih kemahiran berbahasa Inggeris terutamanya para pelajar sekolah luar bandar. Mereka akan cuba menggunakan bahasa Inggeris dalam perbualan harian meskipun tidak mempunyai kemahiran.
    • Selain itu, penggunaan bahasa dalam media cetak dan elektronik turut menyumbang kepada permasalahan ini. Hal ini disebabkan kebanyakan dalam media sama ada media cetak mahupun media elektronik tidak menitikberatkan penggunaan bahasa Melayu yang betul untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai.Malah golongan yang terkenal dan terpelajar tidak terkecuali menggunakan bahasa rojak. Hal ini menunjukkan bangsa Malaysia lebih bangga bertutur dalam bahasa yang bercampuran berbanding daripada menggunakan bahasa Melayu yang betul.

    Punca bahasa rojak

    • Penggunaan bahasa rojak pada papan tanda dan iklan. Kita dapat melihat deretan papan tanda mahupun papan- papan iklan di seluruh pelusuk negara yang secara jelas telah merosakkan penggunaan bahasa Melayu. Contohnya, di plaza tol lebuhraya terdapat papan tanda yang menggunakan bahasa rojak yang berbunyi,“Lorong Touch n Go”.
    • Penggunaan bahasa rojak dalam internet dan pertuturan seharian. Dewasa ini, sekiranya kita singkap laman di internet terutamanya laman ‛e-mail’ dan chat’ kita mungkin terperanjat jika melihat betapa ramainya pengunjung di laman itu yang menggunakan bahasa rojak. Perkataan–perkataan seperti sorry sangat (minta maaf sangat) , sangat tired (sangat letih) sering kali digunapakai oleh pengunjung di laman internet dan dalam pertuturan seharian mereka.

    Kebaikan bahasa rojak


    Bahasa rojak mempunyai pelbagai kebaikan. Antaranya adalah:

    • Bahasa rojak lebih mudah dalam konteks memberi kefahaman kepada orang lain.
    • Bahasa rojak mempunyai sifat memudahkan dan gemar dituturi oleh masyarakat Malaysia menyebabkan ia dianggap sebagai bahasa sebenar masyarakat Malaysia. (sumber:John Lee Ming Keong, "Proud to be a Malaysian",2010)
    • Bahasa rojak merupakan cara yang lebih efektif dalam menyampaikan mesej.



    Kebaikan bahasa rojak

    Antara kebaikan lain bahasa rojak ialah:

    • Bahasa rojak juga merupakan sesuatu yang boleh dianggap seni dan menyerlahkan lagi "kebolehan" rakyat Malaysia. (Kreatif)
    • Bahasa rojak juga boleh menjadi medan mengeratkan lagi hubungan sesama masyarakat di sesuatu negara contohnya di Jerman. (sumber: Jia Jin Foo melalui artikel"Bahasa rojak is part of Malaysian identity",2010)
    • Menyemai semangat 1 Malaysia. (Tontoni video yang disediakan)

    Keburukan bahasa rojak


    Gejala bahasa rojak sememangnya meninggalkan impak negatif yang semakin ketara. Antara impak penggunaan bahasa rojak ialah melahirkan genarasi muda yang tidak menguasai bahasa Melayu dengan betul sepenuhnya.

    Fenomena ini akan memperlihatkan situasi masyarakat yang tidak menyusun perkara yang mahu diungkapkan dengan matang dan seolah-olah kelihatan tidak serius. Impaknya, gejala ini secara tidak langsung akan menghakis ketulenan bahasa Melayu secara perlahan-lahan dalam kalangan masyarakat.

    Rabu, 4 Ogos 2010

    Keburukan bahasa rojak

    Impak-impak peggunaan bahasa rojak yang lain ialah:

    Ø Menurunkan kedudukan bahasa Melayu dan seterusnya negara memiliki bangsa yang gagal berkomunikasi dengan baik.
    Ø Menjejaskan keberkesanan komunikasi dalam masyarakat sekaligus menimbulkan salah faham.
    Ø Mutu penguasaan bahasa Melayu terus merosot dan lemah serta terhakis, hal ini akan memberi kesan kepada bahasa ilmu, bahasa pentadbiran, bahasa undang-undang, dan budaya.
    Ø Menjejaskan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah yang mendatangkan kesan negatif dalam jangka masa panjang.
    Ø Penghayatan terhadap bahasa Melayu semakin berkurang. Bahasa Melayu adalah warisan karya yang menandai ketinggian pemikiran dan estetika bangsa kita.

    Langkah-langkah mengatasi isu bahasa rojak

    Pihak yang paling berwajib dalam membendung fenomena ini ialah Dewan Bahasa dan Pustaka(DBP), Kementerian Pelajaran,Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan. Semua pihak yang bertanggungjawab perlu mengambil inisiatif dengan duduk semeja dan berbincang mengenai isu ini. Bekas Ketua Pengarah DBP,Datuk A.Aziz Deraman memberitahu bahawa Akta DBP yang dipinda perlu mengatasi kuasa akta-akta yang lain. Hal ini bertujuan mengenakan tindakan undang-undang atas mereka yang mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa lain serta menggunakan bahasa kebangsaan dengan cara yang salah. Kerajaan sewajarnya memberikan penekanan yang lebih serius dalam menangani permasalahan ini.


    Langkah-langkah mengatasi isu bahasa rojak

    Selain itu,ibu bapa perlu menerapkan budaya penggunaan bahasa Melayu yang betul terhadap anak-anak.Hal ini perlu dilakukan dari peringkat awal iaitu semasa anak-anak masih kecil. Penggunaan bahasa Melayu yang betul daripada ibu bapa akan dapat mengelak penggunaan bahasa rojak dalam kalangan anak-anak daripada terus berleluasa. Keadaan ini dapat ditafsirkan melalui pepatah melayu "melentur buluh biarlah dari rebungnya".Oleh itu,bahasa Melayu yang betul tanpa dirojak dapat diterapkan terhadap anak-anak melalui paranan ibu bapa.

    Kesimpulan

    Usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu dijadikan agenda utama yang dilaksanakan secara berterusan supaya bahasa Melayu benar-benar menjadi jiwa bangsa sekaligus mengikis perasaan mengagung-agungkan bahasa lain terutamanya bahasa Inggeris dalam kalangan masyarakat Malaysia.Keaslian bahasa Melayu perlu terus dipelihara agar kekal menjadi wahana komunikasi utama di negara ini tanpa dicampuradukkan dengan bahasa-bahasa lain.

    Video tentang bahasa rojak

    video